SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Seberang Marang diwujudkan atas kesedaran nasionalisme yang melanda tanah air tempatan selepas Perang Dunia Kedua yang menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat tempatan mengenai pendidikan anak tempatan dan menyedari bahawa dengan ilmu pengetahuanlah bangsa Melayu dapat dibangunkan ke martabat yang lebih tinggi, mampu menjadi pemimpin yang berwibawa dan membawa perubahan kepada nasib bangsa Melayu.
Sebelum ini terdapat hanya sebuah sekolah di Daerah Marang iaitu Sekolah Melayu Marang yang kedudukannya dipisahkan oleh Sungai Marang. Untuk ke sekolah murid-murid terpaksa menggunakan perahu dan ini amat berbahaya kepada murid-murid yang masih kecil. Di atas kesedaran inilah beberapa orang anak tempatan di Kampung Seberang Marang dan kampung Rhu Muda telah berusaha bersungguh-sungguh bagi memenuhi keperluan pendidikan formal kepada anak-anak di kawasan ini. Usaha ini diketuai oleh dua orang anak tempatan iaitu Pak Da Ismail b. Othman dan Pak Da Ismail b. Hitam yang berkelulusan Darjah Lima Sekolah Melayu.
Dengan kemurahan hati seorang penduduk, satu tapak sekolah sementara telah berjaya dibina secara bergotong-royong oleh penduduk tempatan. Bangunan sekolah tersebut yang beratapkan nipah, berlantaikan tanah dan tidak berdinding, berpagarkan anak kayu kuat, berbangku dan bermeja panjang telah siap dibina dan digunakan pada tahun 1948. Sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Rakyat Seberang Marang.
Tenaga pengajar adalah terdiri daripada dua orang guru iaitu Encik Ismail bin Othman dan Encik Ismail bin Hitam. Dengan kos perbelanjaan dan kewangan ditanggung sepenuhnya daripada hasil sumbangan derma oleh ibu bapa dan penduduk tempatan. Darjah yang diadakan pada masa itu ialah “Darjah Not” yang bermaksud tiada darjah tertentu. Mata pelajaran yang diajar ialah Asas Agama Islam iaitu membaca Al-Quran, Fekah, Tajwid dan menulis dan membaca dengan menggunakan tulisan jawi sekolah yang dijalankan di sebelah pagi sahaja.
Memandangkan kegigihan yang ditunjukkan oleh penduduk tempatan mengenai celik pendidikan, kerajaan telah bersetuju membina sebuah sekolah kerajaan bantuan penuh pada tahun 1951. Sambutan penduduk tempatan amat menggalakkan. Seramai 153 orang murid buat pertama kalinya telah mendaftar masuk ke sekolah ini pada peringkat darjah yang berbeza-beza mengikut umur masing-masing. Sebuah bangunan papan beratapkan nipah berdindingkan papan, berlantaikan tanah berukuran 90 kaki X 25 kaki dengan mempunyai 3 bilik darjah telah siap dibina di sebuah tapak baru sejauh 0.8 km dari Sekolah Rakyat tersebut.
Pertambahan bilangan murid yang belajar telah berlaku dengan pesatnya, maka timbullah masalah murid lepasan sekolah ini tidak dapat menyambungkan pelajaran ke sekolah menengah. Memandangkan sebilangan besar murid yang ke sekolah menengah terdiri daripada murid sekolah ini, maka pada tahun 1966 pihak Jabatan Pelajaran Terengganu telah memilih sekolah ini sebagai bangunan sementara bagi menempatkan kelas menengah sehinggalah sebuah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Marang (sekarang dikenali SMK Tengku Lela Segara) siap dibina di pingggir Bandar Marang sejauh 5 km dari sekolah ini.
Pertumbuhan penduduk yang pesat terus berlaku dan menyebabkan beberapa bangunan baru terpaksa dibina dan yang lama perlu diubahsuai. Bagi menampung pertambahan ini, sekolah sesi petang telah diwujudkan di sekolah ini mulai tahun 1968.
Sebuah bangunan tambahan yang mengandungi 6 bilik darjah dan sebuah bilik perpustakaan dan sebuah kantin telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 14 April 1982. Bilangan murid mencapai angka 1200 orang pada tahun 1993.
Pada bulan November 1993, kerja pembinaan sebuah bangunan baru yang mengandungi 6 bilik darjah dan sebuah bilik kemahiran hidup dimulakan. Bangunan tersebut telah siap dan digunakan pada bulan Disember 1994. Pertambahan bangunan baru ini tidak dapat juga menempatkan semua kelas untuk satu sesi sehingga tahun 2003 apabila sebuah sekolah baru berdekatan dibina.

No comments:

Post a Comment